Apa itu Takaful?
Takaful merupakan pelan perlindungan dan konsep insurans berasaskan Muamalat Islam berlandaskan hukum syariah.
Takaful diambil dari perkataan ‘kafala’ bermaksud untuk menjamin, menjaga atau memelihara.
Jika menurut Akta Takaful 1984; “Takaful bermaksud satu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta (pencarum) jikadiperlukan di mana peserta-peserta sama-sama setuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu.”
Takaful menepati kehendak kontrak dalam muamalat Islam melalui beberapa kontrak seperti Tabarru’, Mudharabah dan wakalah. Melalui kontrak Tabarru’ peserta menyumbang dengan ikhlas dan setuju sebahagian sumbangan (seperti yang ditetapkan) diberikan untuk membantu para peserta dalam skim takaful yang memerlukan. Atau dalam bahasa mudahnya menderma. Dalam industri takaful, tabarru’ bersyarat diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah menderma sepadan dengan risiko yang dibawanya. Kadar tabarru’ ini ditetapakan bagi member keadilan kepada semua peserta. Maksudnya disini jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru’nya mestilah sesuai dengan risiko tersebut.
Selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan sifat tolong-menolong atau menyediakan bantuan pada yang ditimpa musibah serta menuntut supaya umatnya bekerjasama dalam perkara-perkara baik.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud;“Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain”
Mudharabah merupakan kontrak perkongsian yang mana modal (caruman dari pihak peserta) dan usaha dari pihak yang lain (Pengendali takaful). Pengendali takaful berusaha mengembleng sebahagian tertentu caruman (seperti yang ditetapkan dan dipersetujui) dalam aktiviti pelaburan.
Wakalah pula bermaksud penyerahan tanggungjawab yang ada pada muwakkil (peserta) kepada wakil (pengendali takaful) dengan lafaz tertentu agar wakilnya menguruskan segala tanggungjawab yang diwakilkan dengan menggunakan kepakarannya.
Comments :
Post a Comment